Saturday, May 22, 2010

Judi - Haram Tetap Haram

Kelulusan lesen judi bolasepak kepada kumpulan Berjaya yang dimiliki oleh Tan Sri Vincent Tan oleh kerajaan pusat sempena Piala Dunia pada bulan Jun 2010 menimbulkan pelbagai reaksi dan keresahan rakyat.

Difahamkan lesen judi tersebut bukan hanya terhad kepada Piala Dunia 2010 tetapi juga Liga Perdana Inggeris, La Liga Sepanyol, Serie A Itali, Bundesliga Jerman dan lain-lain sukan.
Alasan yang diberikan kerajaan adalah untuk mengawal kegiatan judi haram yang mencecah berbillion ringgit setahun dan keuntungan darinya digunakan untuk membiayai kegiatan jenayah dan kegiatan tidak bermoral lain.
Jika alasan di atas yang membebankan pihak kerajaan, boleh diandaikan bahawa pihak berkuasa tidak lagi berupaya untuk mengawal kegiatan judi apatah lagi menghapuskannya terus. Kenaikan pangkat, gaji dan insentif kepada Polis DiRaja Malaysia baru-baru ini akan dianggap rakyat sebagai tiada makna dan merugikan pembayar cukai.
Jika begini caranya, pada masa depan jika ingin mengawal kes-kes rompakan bank dan kedai emas maka disediakan satu gudang yang dipenuhi wang dan emas supaya rompakan 'halal' boleh dilakukan. Begitu juga dengan pelacuran, perlulah didaftarkan supaya boleh beroperasi secara berlesen untuk mengawal kegiatan pelacuran haram seperti sesetengah negara barat.
Isu politik dalam perkara ini sepatutnya langsung tidak timbul walaupun dibawa oleh setengah pihak. Mana-mana agama di dunia ini mengharamkan judi. Jangan diberi alasan bahawa pusat perjudian berlesen dan nombor ekor adalah untuk rakyat bukan Islam kerana itu adalah penghinaan kepada mereka dan agama anutan mereka. Hanya golongan yang mendapat keuntungan (dari segi apapun) sahaja yang bersetuju dengan judi 'halal' ini.
Haram tetap haram walaupun berlesen.