Wednesday, October 28, 2009

NATRAH

Ketika dalam perjalanan membayar bil penyelenggaraan rumah sewa di KD kelmarin, stesen radio berita dan bicara Radio24 sedang menemubual melalui telefon aktres Sofia Jane yang akan membawa watak Natrah pada usia 70 tahun iaitu ketika tahun-tahun terakhir sebelum kematiannya pada Julai lalu.

Apa yang menarik dan menginsafi dalam temubual tersebut bagaimana Sofia menyebut tentang siapalah kita untuk mencaci dan mencerca Natrah yang dikatakan telah murtad sekembalinya ke Belanda. Ia juga tentang kisah bagaimana Natrah meneruskan kehidupan dengan dibayangi oleh kisah-kisah lampau dan dikelilingi oleh agenda-agenda pihak tertentu di sana.

Sebagai hamba Allah biasa, kita tidak tahu apa tersimpan dan tersirat dihati setiap manusia. Ianya menginsafi perlunya kita hidup dalam jemaah... serigala tidak menjerat kambing sekawan tapi menjerat kambing tersesat. TAKBIRR!!!!


Disertakan sinopsis Teater Natrah yang disedut dari Laman Istana Budaya.



Tajuk: Teater Natrah



Tempat : Panggung Sari
Tarikh : 30 November - 9 Disember



Sinopsis :
Teater Natrah memaparkan rentetan kehidupan Nadra Maarof, atau nama Belanda Bertha Heartogh. Beliau adalah wanita keturunan Belanda yang dipelihara oleh Che Aminah Mohamad. Berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Konflik percintaan antara Natrah dan Mansoor Adabi yang menyebabkan terjadi rusuhan di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit. Pada 9 Julai 2009, beliau meninggal dunia pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda akibat leukemia.

Maria Hertogh adalah gadis keturunan Belanda yang diserahkan oleh ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Louisenya kepada Che Aminah untuk dipelihara tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika, dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai. Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
Berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Che Aminah yang diwakili peguam bela Encik Ahmad Ibrahim, menang kes rayuannya dan Natrah dikeluarkan daripada York Hill. Kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun dan Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin tetapi mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya.

Konflik agama dan isu penjagaan yang telah menyebabkan terjadinya rusuhan di Singapura. Ikutilah kesudahannya!




Tiket : RM30, RM50, RM70, RM100 & RM150

No comments:

Post a Comment